Pasti ramai di antara kita yang belum pernah merasai keenakan daging ayam belanda.
Salah satu sebabnya ialah bekalan ayam belanda di pasaran tempatan sekarang masih sukar didapati.
Sama ada sedar atau tidak, rakyat negara ini lebih gemar menikmati ayam daging dan sekali-sekala sahaja kita makan ayam kampung.
Pendek kata, ayam Belanda ini kadangkala tidak masuk langsung dalam kamus hidup masyarakat negara ini.
Bagaimanapun, usaha menternak ayam belanda atau nama saintifiknya, Meleagris Gallopavo dilihat semakin meningkat walaupun ia bukan satu perkara mudah.
Ini kerana penternakan ayam memerlukan penjagaan rapi termasuk dari segi pemakanan dan pengawasan di persekitaran kehidupannya.
Kebanyakan penternak menganggap haiwan ini sebagai haiwan yang 'kuat makan' dan makanan utamanya ialah bijirin dan dedak selain makanan semula jadi terdiri daripada rumput dan tumbuhan hijau.
Bagi kebanyakan penternak, penggunaan dedak daripada sisa beras amat perlu bagi memastikan tumbesaran haiwan ini berada pada tahap memuaskan.
Ayam belanda membiak dengan bertelur seperti ayam lain dan telurnya juga agak sama iaitu bercangkerang keras.
Bagaimanapun, kumpulan penternak biasanya tidak akan membiarkan telur itu menetas secara semula jadi malah akan menggunakan kaedah moden supaya produktiviti ternakan mereka tidak terjejas.
Justeru, kebanyakan anak ayam ini dibiak dengan proses penetasan dalam inkubator dan sesetengahnya diimport dari beberapa negara barat.
Apa yang membanggakan, permintaan terhadap bekalan ayam ini meningkat dari semasa ke semasa terutama pada musim perayaan dan kini ia dilihat sebagai salah satu peluang perniagaan yang perlu diceburi.
Ini kerana, harga ayam belanda di pasaran tempatan sebenarnya cukup tinggi dan jika kena cara atau pendekatan pemasarannya, setiap penternak boleh mendapat pendapatan cukup lumayan.
Harga bagi ayam belanda betina dan jantan dianggarkan bernilai RM25 hingga RM30 bagi setiap sekilogram.
Jadi, jika setiap penternak boleh menjual purata 200 kilogram ayam belanda setiap bulan, ia sudah cukup baik bagi mereka untuk menampung kehidupan sekeluarga pada zaman sekarang.
Sunday, 9 August 2009
Potensi Ternakan Ayam Belanda
Posted by Firdaus at 23:14 0 comments
INFO AYAM BELANDA
KALAU ditanya bolehkah ayam turkey atau ayam belanda di masak rendang atau apa juga masakan bercita rasa Malaysia, jawapannya tidak boleh sama sekali.
Ingin tahu mengapa? Kerana tekstur dagingnya yang liat, kental, kering dan tidak berlemak menjadikan ayam belanda kurang sesuai dari sudut kepelbagaian dunia masakan.
Itulah yang dikatakan Chef Eksekutif Hotel Hilton, Kuala Lumpur, Bonaventura Mansi ketika ditanya apakah kegunaan lain ayam belanda selain sekadar dipanggang.
“Masak kari atau tandoori mungkin boleh dicuba. Tapi seperti saya katakan tadi, dagingnya agak liat, tidak lembut seperti ayam biasa,” katanya kepada i-Kon.
Malah disebabkan ciri-ciri itu juga, ayam belanda atau nama santifiknya maleagris gallopava tidak mampu bertahan terlalu lama apabila sudah dimasak.
Cuma sehari saja. Kemudian lebihan ayam belanda selalunya akan kelihatan di dalam tong sampah, kalau tidakpun ia selalunya sesuai dimakan sebagai sandwich atau salad pada hari yang sama.
Sebagai hidangan wajib masyarakat Kristian di Amerika Syarikat (AS) kala santapan malam sambutan Hari Natal dan juga Thanks Giving, ayam belanda turut mendapat perhatian masyarakat di Britain.
Malah, menerusi penyelidikan yang dijalankan oleh US National Turkey Federation, sebanyak 46 juta ayam belanda selalunya akan disembelih ketika majlis Thanksgiving dan 22 juta lagi sebagai hidangan makan malam menyambutnya Hari Natal.
Manakala di United Kingdom yang dilaporkan British Turkey Information Service, 87 peratus daripada masyarakat negara berkenaan bersetuju, sambutan Hari Krismas mereka tidak akan lengkap jika tiadanya ayam belanda panggang.
Tidak pula di Itali, Perancis, Sepanyol dan Jerman, mereka lebih gemar memilih makanan berdaging lain seperti angsa, itik atau daging khinzir sebagai pilihan sejk tradisi.
“Kehadiran ayam belanda hanyalah bagi memeriahkan sambutan Hari Natal bersama seisi keluarga terutama bagi masyarakat AS. Tiada alasan lain.
“Manakala bagi masyarakat Itali seperti saya kami lebih kerap memilih daging lembu, kambing dan juga makanan laut sebagai hidangan makan,” katanya.
Chef Bonaventura berkata penyediaan ayam belanda panggang selalunya mengambil masa dari satu jam sehingga satu jam lima belas minit.
Ini kerana beberapa proses perlu diikuti bagi memastikan kulitnya rangup dan dagingnya sentiasa lembap, walaupun selepas dipotong.
“Kalau di hotel atau di restoran, ayam belanda selalu dipanggang di dalam ketuhar selama 20 minit dalam lingkungan suhu 170 sehingga 180 darjah celsius.
“Kemudian di stim selama 40 minit pada suhu kurang daripada 120 darjah celsius.
“Manakala bagi suri rumah, ayam belanda selalunya dimasak bersama sebekas air di dalam ketuhar bagi menjadikannya lembut,” katanya.
Ayam belanda seberat empat kilogram (kg) sehingga enam kilogram selalunya menjadi pilihan untuk dinikmati bagi acara makan malam seisi keluarga.
Secara tradisi, masakan hidangan panggang ini akan disumbat dengan beberapa rempah ratus termasuk garam dan lada sulah serta digaul bersama buah berangan, bawang, cendawan truffle, buah-buahan kering, roti dan hati ayam.
Bagaimanapun pada masa sekarang, kebanyakan bahan tadi tidak pula disumbatkan di dalam badan ayam Belanda sebaliknya hanya diletakkan di sekeliling bekas ketika memasak.
“Ayam belanda panggang ini selalunya di makan bersama kentang bakar atau kentang lenyek dan juga sayur-sayuran. Manakala sebagai sosnya pula, selalunya menggunakan sos kranberi atau sos nanas bagi mendapatkan cita rasa manis,” katanya.
Pengunjung Hotel Hilton juga berpeluang menikmati kelazatan ayam belanda panggang serta beberapa juadah membuka selera Krismas, di restoran Sudu, Senses, Iketeru dan Chynna pada harga bermula RM230++.
Info
· 99.2 gram dada ayam belanda tanpa kulit bersamaan 161 kalori, 4 gram lemak dan 30 gram protin.
· 99.2 gram daging ayam belanda hitam tanpa kulit mengandungi 192 kalori, 8 gram lemak dan 28 gram protin.
· 99.2 gram daging lembu atau kambing memiliki 225 kalori.
· Kandungan kolesterol pada ayam belanda sangat rendah dan bebas dari kesan bahan hormon tambahan.
· Meskipun ayam belanda sangat popular di AS, kehadirannya di Eropah di bawa oleh masyarakat Sepanyol pada 1520
· Nama ayam turkey dinamakan oleh masyarakat Sepanyol kerana fizikal dan warna kulit serta bulu haiwan berkenaan yang sama seperti kasut tradisi masyarakat Turki.
· Kedatangan ayam belanda di Britain bermula pada 1525, Jerman (1530) dan Perancis (1540).
· Mengikut sejarah ayam belanda mula mendapat perhatian selepas menjadi juadah perkahwinan Charles IX dari Perancis dan Puteri Elizabeth dari Austria.
Posted by Firdaus at 23:12 0 comments